Feb 20 2008

Pemilih boleh semak maklumat di bilik gerakan BN

Published by faizal at 1:38 am under Berita Terkini

JOHOR BAHRU 19 Feb. – Semua pemilih di negeri ini boleh membuat semakan maklumat di setiap Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) di kawasan masing-masing mulai hari ini sebagai persiapan Pilihan Raya Umum ke-12.

Menerusi perkhidmatan tersebut, para pemilih boleh menyemak nama masing-masing serta mendapatkan mengenai maklumat lokasi pusat pengundian dan hal berkaitan pilihan raya.

Setiausaha Kerja Badan Perhubungan UMNO Johor, Ramlee Bohari berkata, bilik-bilik gerakan BN di 26 kawasan Parlimen itu akan beroperasi mulai pukul 8 pagi hingga 11 malam setiap hari.

”Persiapan telah dilakukan sejak awal dan para pemilih boleh menyemak nama di semua Bilik Gerakan BN,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Jelasnya, selain berkunjung ke bilik gerakan, para pemilih juga boleh menghubungi Bilik Gerakan BN negeri di talian 07-2245902 atau 07-2245903 bagi mendapatkan sebarang maklumat.

Katanya lagi, beliau yakin bilik gerakan yang menempatkan empat petugas setiap hari itu mampu membantu orang ramai menerusi perkhidmatan bantuan talian yang disediakan.

Menurut Ramlee, segala persediaan yang diatur jentera pilihan raya BN berjalan lancar dengan kesemua bilik gerakan BN di negeri ini telah pun dibuka sejak pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Rabu lalu.

Kata beliau, pihaknya kini dalam proses pengedaran barang-barang pilihan raya kepada semua petugas-petugas jentera pilihan raya Barisan Nasional negeri ini.

“Barang-barang yang diagihkan ini merangkumi poster, kain rentang, kemeja T, topi dan payung.

“Buat ketika ini, setiap barang akan dikumpulkan di Dewan Kampung Dato’ Onn Jaafar di Larkin bagi tujuan pengagihan yang lebih sistematik,” katanya.

Katanya, dianggarkan sebanyak empat juta poster BN akan diedarkan di seluruh negeri Johor, iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding Pilihan Raya Umum 2004 lalu.

No responses yet

Trackback URI | Comments RSS

Leave a Reply