Parlimen JB turut dilanda tsunami pengundi Cina

JOHOR BAHRU 6 Mei – Parlimen Johor Bahru tidak ketinggalan dilanda tsunami politik pengundi Cina apabila kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang jatuh ke tangan DAP dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.

Calon Barisan Nasional (BN), Chong Chee Siong tumpas kepada Andrew Chen Kah Eng dengan majoriti, 3,296 undi.

Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Johor Bahru menyifatkan kegagalan Chee Siong memenangi kerusi tersebut jelas menunjukkan pakatan pembangkang khususnya DAP berjaya mempengaruhi pengundi Cina dengan meniupkan semangat perkauman sambil menekankan BN tidak memberi hak dan keadilan yang sewajarnya kepada masyarakat Cina.

Beliau berkata, fenomena itu menunjukkan DAP berjaya membentuk pemikiran dalam kalangan masyarakat Cina bahawa DAP sahaja yang mampu memperjuangkan nasib dan seterusnya menjadi pemimpin kepada masyarakat tersebut.

DAP juga tegas Shahrir, berjaya memperdaya masyarakat Cina dengan mendakwa mereka tidak mendapat layanan dan pembelaan yang sewajarnya di bawah kerajaan BN.

“Apa yang dikesalkan tuduhan liar yang dilemparkan, MCA dan Gerakan selaku komponen BN tidak memainkan peranan langsung untuk menangkis dakwaan pembangkang.

“Hakikatnya kaum Cina di bawah BN diberikan layanan yang baik dari segi politik, ekonomi, beragama dan sosial. Kita tak ada bagi berdasarkan polarisasi kaum,” katanya selepas diumumkan memenangi kerusi tersebut, di sini malam tadi.

Shahrir berkata, keadaan sedemikian berlaku kerana pengundi Cina termakan dengan amalan politik ekstrem dan perkauman yang dipraktikkan pakatan pembangkang, khususnya DAP.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan kesetiaan masyarakat Cina terhadap BN yang memberikan layanan baik terhadap mereka selama ini.

Dalam PRU-13 ini, Shahrir menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila memperoleh 44,285 undi berbanding Jeneral (B) Tan Sri Md. Hashim Hussein yang mendapat 10,134.

DUN Tanjung Puteri pula kekal menjadi milik Datuk Adam Sumiru dengan memperoleh 25,687 undi menewaskan calon PKR Salleh Ahmad yang mendapat 16,590 undi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130507/px_17/Parlimen-JB-turut-dilanda-tsunami-pengundi-Cina#ixzz2SwsP04lV © Utusan Melayu (M) Bhd